Zizan Pitam Ketika Lakon Aksi Polis Evo 2


KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal, Zizan Razak mengalami kecederaan akibat pitam ketika melakonkan babak aksi sewaktu penggambaran filem terbaharunya, Polis Evo 2 semalam.

Kejadian berlaku dengan pantas sehingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Zizan atau nama sebenarnya, Mohd. Razizan Abdul Razak berkongsi berita itu menerusi catatan di laman Instagram miliknya, @zizanrazak869.

“Kemalangan tersebut berlaku sewaktu saya sedang melakukan babak aksi yang agak berat. Ketika sedang melompat saya tergolek dan terus pitam. Saya tidak tahu apakah yang berlaku selepas itu.

“Apabila sedar saya nampak ada pihak bomba yang memberi bantuan dan rawatan,”kata Zizan yang berusia 33 tahun dan memulakan kerjaya seni sebagai seorang pelawak kepada sebuah portal berita tempatan.

Gambar itu disertakan dengan keterangan meminta supaya semua peminat tempatan tidak lagi membeli cetak rompak atau merakam filem di pawagam sebagai tanda menghargai kerja keras penggiat seni.

“Jadi nasihat Zizan kepada semua tolonglah jangan ada cetak rompak lagi atau curi-curi rakam kerana bukan senang nak hasilkan sesebuah filem. Hari ini Zizan cedera dalam satu babak aksi.

“Dan doakan Zizan cepat sembuh. Amin,” tulisnya. Catatan eksklusif tersebut turut disertakan dengan hashtag #getwellsoon #zizanrazak #action #film #movie #love #live #polisevo2 #kitaok.

Tambah Zizan lagi, buat masa ini dia hanya perlu berehat di rumah serta dalam masa yang sama mendapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor.

“Pihak produksi ada bertanya sama ada saya mahu ke hospital atau tidak. Saya cakap hanya mahu pulang berehat di rumah sahaja. Saya telah menghubungi doktor peribadi saya dan bertanya ubat apa yang sesuai.

“Kecederaan saya tidak teruk pun, cuma saya rasa keadaan fizikal saya terlalu lemah akibat kuat bekerja,” ujarnya yang bergandingan dengan Shaheizy Sam dalam filem tersebut.

Sementara itu, Zizan menolak untuk mengambil rehat yang panjang kerana tidak mahu mengganggu momentum semangatnya untuk menghabiskan penggambaran.

“Saya rehat malam semalam sahaja. Hari ini saya akan pergi ke set penggambaran semula dan cuba lakukan setiap babak yang saya mampu buat.

“Tetapi kalau saya rasa babak itu tidak boleh dilakukan, saya tidak akan buat untuk mengelak kesihatan saya bertambah teruk,” jelasnya lagi.

Zizan kini sedang giat menjalani penggambaran filem Polis Evo 2 di samping Shaheizy Sam, Raline Shah, Erra Fazira, Hairul Azreen dan ramai lagi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==