GEORGE TOWN – “Kamu sangat biadab terhadap orang awam, jika berlaku apa-apa kat warga emas ini, siapa yang mahu bertanggungjawab?”
Demikian luahan seorang lelaki yang kecewa dengan sikap penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas mengapit kenderaan seorang wanita bersama ibunya yang juga orang kelainan upaya (OKU), kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang di depan premis sebuah bank di Jalan Macalister, di sini, kenderaan wanita itu yang diletakkan pada petak khas dikapit hanya kerana tiada pelekat OKU.
Menerusi rakaman pertama, salah seorang daripada penguat kuasa itu dilihat meminta wanita tersebut untuk membuat bayaran denda terlebih dahulu sebelum kapit dibuka.
Ini membuatkan wanita tersebut cuba memberitahu bahawa ibunya sebagai OKU dan mereka dalam proses untuk memohon pelekat kenderaan khas OKU.
Bagaimanapun, anggota MBPP terbabit mengatakan keretanya tidak mempunyai bukti mengatakan pemiliknya membawa individu OKU.
Turut kelihatan sebuah lori tunda MBPP yang dilihat ‘bersiap-sedia’ ingin menarik kenderaan wanita itu menerusi rakaman.
Sikap keras hati penguat kuasa itu membuatkan orang awam menegur tindakan mereka, malah ada yang menuduh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pulau Pinang sememangnya tidak bertimbang rasa.
“Apa kena dengan kamu? Dia kan berkerusi roda. Berapa lama dia nak tunggu bawah matahari panas?
“Saya rasa kamu patut hubungi Lim Guan Eng dan beritahu apa yang sedang berlaku. Guan Eng tiada wang, sebab itu dia kutip wang macam ini.
“Hubungi Guan Eng dan buka kapit ini,” kata seorang pengawal keselamatan menerusi rakaman video.
Dia juga bertanyakan kepada penguat kuasa itu apakah yang akan lakukan kalau ibu mereka sendiri berada dalam keadaan yang sama.
Turut dilihat seorang lagi individu berbaju biru mengecam tindakan penguat kuasa dengan menggelar tindakan mereka sebagai ‘bodoh’.
Sementara itu dalam rakaman kedua, dua penguatkuasa dilihat tiba di lokasi dengan menaiki motosikal.
Seperti biasa, mereka meminta wanita itu membuat bayaran terlebih dahulu yang mana membuatkan seorang kakitangan bank tampil untuk turun membantu.
Dia kemudiannya dilihat memberi bayaran membuka kapit kepada penguat kuasa sebelum diberikan resit.
Kedua-dua rakaman video itu sehingga kini mengundang kecaman dan pelbagai reaksi negatif khususnya daripada rakyat di negeri utara Semenanjung itu sendiri. – MYNEWSHUB.CC