PETALING JAYA: Pengacara dan pelawak Nabil Ahmad memberi amaran kepada chef selebriti terkenal Prof Datuk Chef Wan agar tidak berterusan memuat naik status berbaur hasutan di laman Instagramnya.
Nabil berkata, tindakan Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail menuduh dia sebagai punca remaja menjadi kurang ajar boleh menjejaskan reputasinya sebagai seorang selebriti yang juga duta pelbagai produk.
“Kata-kata yang dimuat naik di laman Instgaram itu sudah melampau kerana menuduh saya sebagai punca anak-anak kurang ajar. Itu satu isu besar dan serius terutama bila dia hanya menyerang saya seorang, bukannya team Gegar Vaganza.
“Semalam peguam menghubungi saya berkaitan hal itu dan menganggap kenyataan beliau berunsur hasutan dan menyediakan ruang untuk orang membenci saya,” ujarnya kepada mStar Online.
Nabil mengulas tentang komen balasnya yang memuat naik video sebagai respons kepada tuduhan Chef Wan itu pada Isnin.
Bagaimanapun, Nabil memadam video berkenaan selepas mendapat pelbagai reaksi netizan.
Chef Wan pernah menjadi tetamu dan juri undangan di program Gegar Vaganza.
Ujar Nabil, dia memuat naik video itu adalah atas nasihat peguam yang sedang mengumpul beberapa bukti terhadap isu tersebut.
“Kalau ikut saya memang saya tidak mahu layan tapi peguam yang menjaga kerjaya saya menganggap ia sebagai sesuatu yang serius dan merosakkan reputasi.
“Dia minta saya respons bukan untuk bergaduh sebaliknya sebagai bukti kepada klien. Saya perlu menjaga nama baik saya kerana beberapa produk besar yang saya tandatangan meminta penjelasan tentang itu,” ujarnya.
Sementara itu, Nabil berkata, Chef Wan seharusnya melakukan perkara itu secara profesional dan bertemu dengan pihak produksi Astro.
Tambahnya, semua perkara yang dilakukannya sebagai pengacara sekadar menjalankan tanggungjawab seperti yang diminta pihak Astro untuk berbuat demikian.
“Gegar Vaganza ini sudah masuk musim keempat dan jika dia tidak suka dengan cara saya dia boleh jumpa pihak Astro dan beritahu tentang itu.
“Jika dia lakukan dengan cara yang betul saya sendiri akan akur. Dia tidak berada dalam produksi dan tidak tahu perjalanan program realiti televisyen,” ujarnya.
Chef Wan muat naik status menegur cara Nabil sebagai biadap.
Dalam pada itu, Nabil berkata kenyataan negatif itu secara tidak langsung membuatkan dia hilang rasa hormat kepada chef selebriti itu.
Katanya, dia tidak tahu niat Chef Wan yang seakan-akan cuba untuk menutup periuk nasinya dalam bidang ini.
“Saya sudah hilang hormat padanya, saya hanya hormat dia sebagai orang tua dari saya sahaja. Dulu saya anggap dia seorang ikon contoh untuk berjaya ke peringkat antarabangsa.
“Apa juga restoran yang dia kata sedap pasti saya akan datang cuba (makan). Tapi sekarang maaflah, mungkin tidak lagi,” ujarnya.
Chef Wan pada Ahad memuat naik beberapa status menegur tindakan pengacara itu yang dianggap biadap dan kurang ajar.
Malah katanya, cara Nabil mengendalikan Gegar Vaganza memberi pengaruh buruk kepada penonton terutama kanak-kanak untuk bersikap kurang ajar.
Sumber : Friscomedia