ARKIB : 19/02/2008
KUALA LUMPUR - Malaysia layak secara automatik ke pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 Tahun Asia gara-gara pelanggaran peraturan oleh salah satu lawannya, Korea Utara yang menurunkan pemain melebihi usia dalam pusingan kelayakan di Singapura, Oktober tahun lalu.
Sekalipun menduduki tangga tercorot Kumpulan G kelayakan itu, skuad bimbingan Aminuddin Hussin ini telah dibantu oleh keputusan Jawatankuasa Tatatertib Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) yang mendapati Korea Utara menyalahi Perkara 72 Kod Tatatertib AFC, Jumaat lalu.
Menurut kenyataan media AFC kepada Utusan Malaysia, semalam, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Sheikh Salman Al Khalifa ini turut membatalkan keputusan perlawanan kelayakan melibatkan Korea Utara, Tajikistan dan Iraq selepas ujian pengesanan gema magnetik (MRI) mengesahkan kesalahan mereka.
"Menurut Perkara 26 (f) Peraturan Pertandingan, AFC berhak mendenda mereka sebanyak AS$4,000 (RM12,878) kerana kesalahan itu," kata kenyataan itu yang menambah, AFC turut mendapatkan nasihat seorang saksi pakar perubatan berhubung MRI.
Kata kenyataan itu, Perkara 26 (f) Peraturan Pertandingan Kejohanan Bawah 16 Tahun Asia menyebut: "Mana-mana ahli gabungan yang bersalah menurunkan pemain yang tidak layak, wajar meninggalkan perlawanan itu. Kemenangan 3-0 atau lebih bergantung kepada jaringan perlawanan itu dan tiga mata akan diberikan kepada lawan.
"Selain itu, pingat atau kelayakan ke pusingan akhir bagi pasukan yang bersalah, pegawainya dan pemain wajar dilucutkan dan dibatalkan. Mereka yang terlibat dalam pasukan itu turut tertakluk kepada denda dan hukuman Jawatankuasa Tatatertib AFC," katanya.
Bagaimanapun kata kenyataan itu, AFC akan mengumumkan senarai pasukan terbaru yang layak ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Uzbekistan dari 4 hingga 19 Oktober ini akibat keputusan Jawatankuasa Tatatertibnya.
Malaysia gagal ke pusingan akhir setelah dikalahkan Australia 2-0 dan Korea Utara 4-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada pusingan kelayakan pada 17 dan 21 Oktober lalu sekali gus menduduki tangga tercorot Kumpulan G.
Tiga lagi pasukan yang mulanya turut dijadualkan menganggotai kumpulan ini - Timor Leste, Myanmar dan Maldives menarik diri.
Malaysia juga gagal ke separuh akhir Kejohanan Bawah 17 Tahun AFF di Kemboja, Ogos lalu dengan menduduki tempat ketiga Kumpulan A sambil memungut lima mata selepas membelasah Brunei 7-0, seri dengan Indonesia 2-2, dikalahkan oleh Thailand 3-1 dan seri dengan tuan rumah 3-3.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ift.tt/2AWiGsf
© Utusan Melayu (M) Bhd