ARKIB : 11/03/2008
KUALA LUMPUR Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan bahawa Malaysia layak secara automatik ke pusingan akhir Kejohanan Bawah 16 Asia di Uzbekistan dari 4 hingga 19 Oktober ini selepas membatalkan keputusan Korea Utara dalam pusingan kelayakan tahun lalu, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Satu kenyataan AFC kepada Utusan Malaysia semalam menyebut, skuad remaja negara menyertai 15 negara lain yang layak termasuk tuan rumah apabila Korea Utara didapati bersalah menurunkan pemain yang melebihi had umur menurut Perkara 72 Kod Tatatertib AFC.
Malaysia pada mulanya gagal ke pusingan akhir setelah dikalahkan Australia 2-0 dan Korea Utara 4-0 dalam pusingan kelayakan di Singapura pada 17 dan 21 Oktober tahun lalu sekali gus cuma menduduki tangga tercorot Kumpulan G.
Tiga lagi pasukan yang mulanya turut dijadualkan menganggotai kumpulan ini iaitu Timor Leste, Myanmar dan Maldives menarik diri.
Bagaimanapun kesalahan Korea Utara yang juga juara kumpulan itu, membolehkan skuad negara diberikan kemenangan 3-0 dan tiga mata oleh AFC sekali gus menyertai Australia untuk mara ke Uzbekistan.
Korea Utara juga didapati tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Jawatankuasa Tatatertib AFC pada 15 Februari lalu yang berdasarkan ujian pengesanan gema magnetik (MRI).
Malah menurut Perkara 26 (f) Peraturan Pertandingan, AFC berhak mendenda Korea Utara sebanyak AS$4,000 (RM12,878) selain melucutkan status kelayakan mereka.
Negara lain yang turut layak ialah Syria, Yemen, Iran, Bahrain, India, Turkmenistan, China, Singapura, Jepun, Indonesia, Australia dan Korea Selatan serta Arab Saudi ekoran lawannya, Iraq yang didapati turut menyalahi perkara berkenaan.
Arab Saudi pula cuma menduduki tempat ketiga di belakang Iraq dan India dalam pusingan kelayakan Kumpulan C, November lalu.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ift.tt/2yVGcEd
© Utusan Melayu (M) Bhd