KOTA BHARU: Kelemahan PPBM untuk menyelesaikan masalah remeh pendaftaran parti itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membuktikan kepimpinan parti itu tidak layak untuk mentadbir negara ini, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata PPBM tidak mempunyai kualiti kepimpinan yang diharapkan oleh rakyat apabila soal pendaftaran dan kegagalan mengadakan mesyuarat agung parti tidak dapat diselesaikan sekian lama.
“Semua ini menunjukkan kelemahan pengurusan. Tidak sepatutnya seorang pemimpin yang pernah jadi seorang perdana menteri selama 22 tahun, tiba-tiba nak urus pendaftaran dan pengurusan parti pun tak boleh selesai … macam mana nak dapatkan sokongan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.
Mohd Amar berpendapat kegagalan Pakatan Harapan (PH) untuk didaftarkan adalah lebih baik kerana memberi peluang kepada PAS untuk bertanding 1 lawan 1 dengan BN.
“Bagi kita kalau tak ada langsung PH lebih baik… biar PAS sahaja yang lawan dengan Umno (dan BN),” katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata kegagalan PPBM mengadakan perhimpunan agung tahunan sejak pendaftaran parti itu diluluskan serta permohonan pindaan perlembagaan PPBM yang belum diluluskan turut menyebabkan permohonan pendaftaran PH tidak dapat dilakukan.
Ini selain kegagalan DAP yang menganggotai PH menyelesaikan laporan pemilihan semula ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 12 Novomber lepas. - FMT